Daripada apa yang telah dikumpulkan melalui orang tua-tua di Sabak Bernam, bahawa nama Sabak Bernam adalah berpunca dari perkataan Sahabat
Berenam :
Adalah diketahui bahawa terdapat enam orang bersaudara telah mudik ke hulu sungai tersebut dan mereka mendapati ada sebatang kayu yang tumbang dan menghalang lalulintas. Kemudian,mereka telah memotong kayu tersebut dan meneruskan perjalanan ke hulu. Sungguhpun demikian, tiada keterangan yang membuktikannya. Serba sedikit yang boleh dijadikan bukti ialah kubur-kubur mereka yang masih boleh ditemui hingga ke hari ini iaitu Landu di Kemboja, Lubok Pusing di Sepang, Keranji dan Teluk Rubiah.
Menurut satu cerita pula, dalam tahun 1880-an, nama Sabak Bernam itu wujud kerana dipercayai ada seramai enam orang iaitu terdiri daripada bekas Pembesar Aceh dan Sumatera. Mereka ini telah meninggalkan negeri masing-masing untuk datang ke Tanah Melayu.Dalam tempoh mereka di Tanah Melayu mereka telah menemui kuala sebuah sungai. Sebelum itu, sungai tersebut belum diketahui namanya. Kemudian, mereka telah mudik ke hulu. Dalam perjalanan mereka untuk bermalam, mereka telah mengambil keputusan bermalam di tebing sungai tersebut, tetapi didapati di sekelilingnya ditenggelami air, hanya mereka terjumpa dengan satu tempat yang sedikit tinggi seperti busut, maka di situlah mereka membuat pondok. Mereka menggunakan tanah sebagai tungku untuk memasak makanan. Maka dapur daripada tanah tersebut itulah dipanggil ‘Sabak’.
Dapur yang diperbuat daripada tanah itu diberi nama Sabak dan mereka pula ada enam orang, maka dengan itu mereka telah menamakan sungai tersebut sebagai Sungai Bernam dan tempat tinggal itu dinamakan Sabak Bernam. Mereka yang berenam itu ialah terdiri daripada Tuan Syed Ahmad, Tuan Sharifah Intan / Mastura, Sharifah Robiah, Haji Salim, Datuk Dalang dan Datuk Menteri.
Pemerintahan Sabak Bernam
Mengikut sejarahnya, Sabak Bernam telah wujud dalam tahun 1720 lagi. Pada masa itu, Sabak Bernam di bawah pemerintahan Raja Muda Perak yang bergelar Raja Inu.
Putra Sultan Ibrahim, iaitu Sultan Selangor yang kedua dalam tahun 1778 hingga 1826, Putra baginda yang bernama Raja Onus dengan keluarganya dan anak isterinya telah datang ke Sabak Bernam dengan seorang sahabat karibnya bernama Haji Ali yang juga dengan keluarga dan isteri telah datang berpindah ke Sabak Bernam.
Manakala cerita yang ketiga pula yang didapati dari Pak Yusof yang tinggal di Panchang Bedena mengesahkan iaitu pada masa tanah Semenanjung kaya dengan pengeluaran hasil hutan menyebabkan ramai orang dari kepulauan Sumatera datang membuka kampung. Di antaranya termasuklah enam orang berketurunan Bugis yang mula-mula masuk mengikut sungai yang sekarang lalu dipanggil Sungai Bernam.
Mereka mendapati semua tanah di tepi sungai itu becak ditenggelami air laut pasang dan surut. Hanya ada satu kawasan sahaja membukit tinggi yang tidak tenggelam. Mereka yang berenam tadi naik ke darat dan membuat pondok di situ. Apabila mereka masak makanan, mereka masih menggunakan tungku di kampung asal mereka yang diperbuat dari tanah berlubang. Ia diletakkan di bahagian rusuk tanah dan dibuatkan lubang di bahagian atasnya. Inilah juga caranya yang biasa digunakan bagi memasak nira membuat gula kabung atau gula kelapa. Tungku yang dikatakan itu dikenali sebagai ‘Sabak’ dan dari tungku inilah diambil untuk nama tempat di situ oleh sebab mereka berenam maka dipanggil SABAK BERNAM.
Daripada cerita-cerita di atas sudah sahlah yang mula meneroka kawasan itu ialah enam orang dan daripada enam orang tersebut juga timbulnya nama Sabak Bernam. Menurut penulisan Ja’afar bin Haji Ali, enam sahabat itu terdiri daripada bekas pembesar Acheh dan Sumatera iaitu Tuan Syed Ahmad, Tuan Sharifah Intan / Mastura, Sharifah Robiah, Haji Salim, Datuk Dalang dan Datuk Menteri. Dalam masa mereka berpondok itu mereka dapati di sebelah hulu kelihatan banyak sarang Helang Laut bertaburan di tiap-tiap pokok kayu bakau dan boros. Tempat itu lalu dipanggil Sarang Lang yang kemudiannya menjadi SANG LANG. Kemudian, mereka menemui sebuah anak sungai, lalu dinamakan SUNGAI LANG.
Semasa mereka berpecah mencari damar rotan dan buah-buahan hutan dengan memudik sungai, mereka telah kehabisan bekalan air. Kemudian, mereka telah menjumpai anak sungai yang airnya tawar, lalu mereka menamakan tempat itu SUNGAI AIR TAWAR. Walaupun mereka berpecah di waktu siang, mereka tetap balik ke pondok mereka di waktu malam. Lama kelamaan setelah mereka mendapat tempat yang lebih baik dan sesuai dijadian tempat tinggal, mereka pun membawa sanak saudara dari kampung asal ke tempat yang dikenali sebagai SEPONG (mungkin dari sebutan buah SEPAM) dan seorang daripadanya memudiki lagi ke hulu sehingga sampai tiba ke satu bukit yang terdapat banyak buah keranji. Tempat itu kemudian dinamakan KERANJI. Dalam banyak kampung yang diteroka oleh mereka hanya dua buah kampung sahaja yang kekal masih ada penduduknya hingga sekarang. Kampung-kampung itu ialah kampung SUNGAI PAJANG dan kampung DATO’ KHALIFAH. Kemudian, lama kelamaan mereka meninggal dunia dan perkuburan mereka itu dikenali sebagai keramat hingga hari ini.
Di Hulu Sungai Bernam iaitu 30 batu dari kampung Sungai Panjang ada sebuah keramat yang bernama KERAMAT CANGKAT MENTERI. Cerita berkenaan dengannya tidak dapat diketahui kesahihannya. Menurut cerita, dalam tahun 1930-an satu rombongan saudagar kulit putih telah datang menyiasat keadaan tanah-tanah di daerah itu. Kesan-kesan kerja membuat ladang bali (tetapi tidak jadi kerana tanahnya tidak sesuai) masih terdapat di Hulu Sungai Panjang. Rombongan ini telah menghulu lagi hingga ke Cangkat Menteri. Di sana telah dijumpai barang purba berupa wang ringgit, keris dan emas. Barang-barang tersebut telah dibawa oleh mereka balik ke negeri barat.
Setelah Sabak Beranam diletakkan di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, dalam tahun 1876, dalam satu surat bertarikh 13 Ogos, Resident British Selangor bernama Kapten Bloomfield Douglas telah menulis surat kepada Raja Hitam yang berbunyi seperti berikut :-
“Surat daripada Kapten Bloomfield Douglas British Resident Negeri Selangor kepada Raja Hitam ibni Al Marhum Raja Yunus di Sabak Bernam bertarikh 13hb Ogos 1976 mengenai peraturan baru untuk mengadakan Pegawai Orang Putih Edward Neubroner memegang jawatan Collector Of Land Revenue (Pemungut Hasil) Magistrate Polis Sabak Bernam”.
Maka dengan surat tersebut pemerintahan Raja Hitam di Sabak Bernam telah berakhir.
Dalam masa pemerintahan Edward Neubroner, beliau telah membina sebuah Pejabat Kerajaan dan sebuah Balai Polis yang dianggotai oleh dua orang mata-mata sahaja pada mulanya. Dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor, bermulalah penghijrahan bangsa-bangsa asing ke Sabak Bernam seperti Orang Putih,Cina dan India.
Sabak Bernam yang terletak di bahagian Utara Negeri Selangor, yang dahulu kawasannya hingga ke Sungai Nibong tetapi kini hingga ke Sungai Burong, Sekinchan.
Awalnya Sabak Bernam adalah sebuah daerah kecil yang diletakkan di bawah kawasan takluk daerah Kuala Selangor. Pada waktu itu, pusat pentadbiran terletak di Pekan Sabak Bernam. Namun semenjak tahun 1970, pusat pentadbiran Sabak Bernam telah dipindahkan ke Sungai Besar. Pemindahan ke Sungai Besar ini adalah berikutan daripada satu kejadian banjir di Pekan Sabak Bernam yang disebabkan oleh air pasang dari Sungai Bernam.
Disebabkan jarak Sabak Bernam dengan Kuala Selangor yang sangat jauh iaitu 40 batu tanpa kemudahan jalan raya sempurna yang menyambungkannya. Jarak yang jauh antara Sabak Bernam dan Kuala Selangor telah menimbulkan pelbagai kesulitan bagi penduduk Sabak Bernam.
Berikutan dengan itu, pada tahun 1954, penduduk Sabak Bernam di bawah pimpinan Yang Dipertua Persatuan Melayu Daerah Sabak Bernam telah mengadakan satu mesyuarat yang telah dihadiri oleh semua ketua-ketua kaum bagi membincangkan segala kesulitan yang dialami oleh penduduk Sabak Bernam yang ketinggalan dalam semua bidang. Antara yang telah menghadiri mesyuarat tersebut adalah Dato’ Onn Jaafar yang pada masa itu mentadbir Hal Ehwal Dalam Negeri Selangor dan wakil dari Legislative Council Negeri Selangor, Y.M Raja Ayub bin Raja Haji Bot dan Mr. K.V Thaver. Mesyuarat tersebut bertempat di bangunan Persatuan Melayu Daerah Sabak Bernam dan dipengerusikan oleh Yang DiPertua Persatuan Melayu Daerah Sabak Bernam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan